Masalah mabuk semasa mengandung. Punca dan cara untuk menanganinya

Kongsikan

Masalah mabuk semasa mengandung adalah satu masalah yang sangat biasa berlaku dalam kalangan ibu yang sedang mengandung. Kajian mendapati sekitar 70 ke 80 peratus ibu yang sedang mengandung mengalami masalah mabuk ini. Namun, secara umumnya, masalah ini adalah satu masalah yang ringan dan tidaklah terlalu melarat. Kebanyakan wanita tidak memerlukan bantuan perubatan untuk menangani masalah mabuk ini dan ianya boleh dirawat di rumah sahaja. Punca sebenar seseorang ibu itu mabuk semasa mengandung atau mengapa sesetengah ibu yang sedang mengandung itu mempunyai gejala yang teruk masih tidak diketahui. Kebanyakan kajian mengaitkannya dengan perubahan hormon yang berlaku diawal kehamilan. Didapati wanita yang muntah-muntah pada awal kehamilan mempunyai paras estrogen yang lebih tinggi.

Faktor Yang Menyebabkan Mabuk Semasa Mengandung

Kebanyakkan ibu akan mengalami mabuk semasa mengandung pada awal kehamilan. Manakala hanya sebahagian kecil sahaja yang bernasib baik tidak mengalami masalah mabuk semasa mengandung ini. Gejala ini mungkin akan menjadi teruk dikalangan sesetengah ibu yang sedang mengandung. Antara faktor yang menyebabkan seseorang ibu itu mengalami mabuk semasa mengandung yang teruk adalah mereka berkemungkinan mempunyai kandungan kembar. Si ibu yang mengandung anak kembar dua atau tiga biasanya mengalami mabuk yang lebih teruk, begitu juga dengan si ibu yang mengalami ‘kehamilan anggur (molar pregnancy)’ iaitu sejenis kehamilan yang tidak normal. Adalah digalakkan untuk seseorang ibu mengandung yang mengalami ‘hyperemesis gravidarum’ (gelaran yang diberi kepada si ibu yang mengalami mabuk semasa mengandung yang sangat teruk) untuk menjalani pemeriksaan ultrasound untuk memastikan tiada kehamilan kembar ataupun kehamilan anggur. Punca lain yang boleh menyebabkan gejala muntah seperti mabuk semasa mengandung yang teruk adalah jangkitan saluran kencing, radang usus dan keracunan makanan. Mereka juga mungkin mempunyai sejarah mabuk semasa mengandung pada kandungan yang lalu. Mempunyai sejarah keluarga yang mengalami mabuk semasa mengandung juga merupakan salah satu faktor yang boleh diambil kira. Kadangkala, sesetengah faktor lain juga boleh menjadi pencetus kepada mabuk semasa mengandung. Diantaranya adalah bau-bauan atau wangi-wangian seperti minyak wangi, kopi atau asap rokok, bau-bauan semasa memasak atau menggoreng, berasa sangat letih dan mempunyai perasaan gelisah atau risau yang berlebihan.

Cara Untuk Mengatasi Masalah Mabuk Semasa Mengandung

Masalah mabuk semasa mengandung ini boleh dikurangkan dengan mengubah diet dan gaya hidup harian seperti kerap makan dan minum, tetapi dalam kuantiti yang sedikit, lebih kurang 5 ke 6 hidangan kecil sehari. Ini adalah untuk memastikan air dan pemakanan yang mencukupi untuk seseorang ibu yang sedang mengandung itu menjalani aktiviti harian mereka. Makan semasa bangun tidur biasanya dapat membantu dalam mengurangkan risiko mabuk semasa mengandung. Contohnya apabila bangun daripada tidur, makan beberapa keping biskut kraker dan rehat 15 minit sebelum bangun daripada tempat tidur. Antara cara lain yang dapat mengurangkan rasa mabuk semasa mengandung adalah dengan cara terus makan sesuatu makanan apabila mengidam atau teringinkannya. Elakkan makan makanan berminyak, pedas atau bergoreng dan elakkan juga makan makanan yang boleh menyebabkan anda berasa loya. Elakkan minum air dengan banyak semasa makan atau sebaik sahaja sebelum atau selepas makan. Si ibu juga disarankan untuk minum minuman diantara hidangan untuk mengurangkan muntah. Selain daripada itu, si ibu yang sedangan mengandung juga boleh mengambil halia (teh, halwa dan kapsul) kerana ianya terbukti boleh mengurangkan rasa loya dan muntah semasa mengandung. Si ibu yang sedang mengandung juga boleh mengambil multivitamin yang mengandungi piridoksin (vitamin B-6) kerana ianya membantu dalam mengurangkan rasa loya dan muntah yang teruk. Dos yang dicadangkan adalah 25-50 mg setiap lapan jam. Jika anda mendapati vitamin tambahan yang dimakan seperti hematinik (atmbha darah), boleh menambahkan rasa loya, anda boleh memakannya pada waktu malam sebelum tidur. Jika ianya tidak membantu, berbincanglah dengan doktor untuk menukar bentuk vitamin. Vitamin dalam bentuk gel biasanya kurang memberi kesan loya. Apa yang paling penting adalah dengan mendapatkan rehat yang secukupnya, udara yang bersih dan sokongan keluarga yang mencukupi.

Persoalan, Pertanyaan atau Kemusykilan Lain Mengenai Mabuk Semasa Mengandung?

Mempunyai suami dan ahli keluarga yang memahami keadaan ini akan banyak membantu. Walau bagaimanapun, sekiranya gejala ini berkekalan dan susah untuk ditangani, anda harus mendapatkan nasihat dan kaunseling daripada klinik yang berdekatan. Anda juga mungkin memerlukan ubat untuk membantu mengurangkan rasa loya dan muntah. Sekiranya perlu, doktor anda mungkin akan melakukan ujian darah dan air kencing untuk menilai tahap kesihatan anda. Sekiranya anda memerlukan sebarang konsultasi mengenai apa-apa permasalahan yang berlaku mengenai mabuk semasa mengandung, anda boleh terus datang ke mana-mana cawangan Klinik Siti yang berhampiran dengan kediaman anda di mana Klinik Siti kini sudah mempunyai 31 cawangan di sekitar Selangor, Nilai, Putrajaya dan Kuala Lumpur. Klinik Siti dibuka daripada jam 8 pagi sehingga 11 malam temasuk pada hari Sabtu, Ahad dan juga cuti umum.

Klinik Siti menawarkan rawatan dan pemeriksaan kesihatan bagi lelaki dan wanita termasuk kanak-kanak, orang dewasa dan warga emas.

Maklumat Terkini

Tip Kesihatan

Menguruskan kanak-kanak yang jatuh. Kemalangan yang perlu dipandang serious oleh ibu bapa.

Tip Kesihatan

Masalah mabuk semasa mengandung. Punca dan cara untuk menanganinya

Tip Kesihatan

Kebaikan Susu Ibu buat bayi dan ibu itu sendiri wadah kebahagiaan ibu dan anak